20 February 2013

LANGKAWI - LE TOUR DE LANGKAWI (LTdL) BERMULA


Kejohanan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-18 akan bermula dengan praperlumbaan di Langkawi sebelum perlumbaan peringkat pertama bermula di Kangar, Perlis pada 21 Feb depan.
  
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata praperlumbaan akan berlangsung pada 20 Feb dan tidak akan melibatkan pengiraan mata kerana matlamatnya sekadar memperkenalkan venue lahir kejohanan kepada pelumba.
  
Kementerian mahu mengekalkan identiti dan sejarah perlumbaan LTdL sejak diperkenalkan pada 1996, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
  
Mengenai edisi LTdL 2013, Ahmad Shabery berkata perlumbaan berstatus 2.HC (Hors Classe) itu akan disertai 20 pasukan termasuk dari Perancis serta Amerika Syarikat dan akan berlangsung hingga 2 Mac.
  
(Hors Classe merupakan status tertinggi yang diberi kepada sesebuah perlumbaan berbasikal yang mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Ahmad Shabery berkata antara laluan baharu untuk edisi kali ini ialah Serdang, Sungai Siput dan Kuala Kangsar, yang pasti memberi pengalaman baru kepada pelumba edisi 2013.  
  
"Apa yang menarik perlumbaan kali ini menampilkan tiga pendakian berstatus 'Hors Classe' iaitu dua di Cameron Highlands dan satu lagi puncak di Genting Highlands," katanya.
  
Beliau berkata Terengganu sekali lagi dipilih sebagai penutup perlumbaan apabila empat peringkat terakhir berlangsung di negeri tersebut dengan misi sampingan mempromosi Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
  
"Ia juga sebagai penghormatan kepada kerajaan negeri Terengganu atas kejayaannya menghasilkan ramai pelumba terbaik negara sama ada dalam acara trek dan lebuh raya.
  
"Diharap ia akan menjadi cabaran untuk negeri lain dalam menyusun program pembangunan sukan masing-masing dalam usaha melahirkan bakat-bakat baru sukan yang mampu diketengahkan ke peringkat dunia," katanya.
  
Beliau berkata daripada 20 pasukan yang menyertai LTdL 2013,  dua merupakan pasukan bertaraf 'protour' iaitu pasukan Garmin dari Amerika Syarikat dan Astana dari Kazakhstan.
  
"Kita sedang berusaha memujuk satu atau dua lagi pasukan bertaraf 'protour' untuk memberi lebih kehangatan sesuai dengan tema perlumbaan kali ini iaitu 'The Heat is On' atau 'Bahang Kian Terasa'," katanya.
  
Laluan Le Tour de Langkawi 2013
    ------------------------------

-
    Peringkat 1 (21 Feb) -- Kangar - Kulim (162.7 km)
    Peringkat 2 (22 Feb) -- Serdang - Kuala Kangsar (116.0 km)
    Peringkat 3 (23 Feb) -- Sungai Siput - Cameron Highlands (145.5 km)
    Peringkat 4 (24 Feb) -- Tapah - Kapar (168.0 km)
    Peringkat 5 (25 Feb) -- Proton - Genting (108.0 km)
    Peringkat 6 (26 Feb) -- Mentakab - Kuantan (212.8 km)
    Peringkat 7 (27 Feb) -- Kuantan - Dungun (149.8 km)
    Peringkat 8 (28 Feb) -- Kuala Terengganu - Tanah Merah (164.5 km)
    Peringkat 9 (1 Mac ) -- Pasir Puteh - Kuala Berang (123.6 km)
    Peringkat 10(2 Mac ) -- Tasik Kenyir - Kuala Terangganu (114.8 km)
  
    Jarak Keseluruhan : 1465.6 km


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...