15 October 2015

PAS TERBUKA UNTUK BEKERJASAMA DENGAN UMNO

Pas menjelaskan bahawa parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti pada pilihan raya umum akan datang termasuk UMNO.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata, buat masa ini kerjasama politik yang melibatkan parti itu hanyalah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun jelas beliau, memahami politik adalah sesuatu yang dinamik, Pas sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama termasuk dengan UMNO, jika memberi manfaat kepada negara.

“Waktu ini dari sudut politiknya kita kerjasama dengan PKR. Kita pada waktu ini, tidak menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan dan kita juga tidak bersama dengan UMNO.

“Selepas ini kita tidak tahu dan Pas terbuka kerana politik dinamik, tetapi buat masa ini kita kekal dengan PKR,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pucuk pimpinan Pas diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diketuai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Pas baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP selepas berlakunya siri pertelagahan berpanjangan antara kedua-dua parti sehingga akhirnya membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat.

Rentetan kemelut tersebut, DAP bersama PKR bertindak mengetepikan Pas semasa menubuhkan Pakatan Harapan dengan kedudukan parti itu ‘dirampas’ serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah).

Ditanya mengenai status kerjasama Pas dan PKR, Mustafa berkata, perkara itu berlandaskan konsep sebagaimana yang pernah dipraktiskan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat dahulu.

“Walaupun semasa penubuhan Pakatan Harapan, PKR bersama dengan Amanah itu tidak jadi masalah di Selangor. Kita guna konsep sama seperti APU dan Gagasan Rakyat pada 1990,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...