14 September 2015

SELUDUP DADAH - RM 1.4 JUTA DALAM AKAUN BANK

Langkawi - Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dalang utama jaringan pengedaran dadah di pulau ini serta merampas 5 kilogram heroin dan 171 gram syabu di Jeti Kuah, Khamis lepas.

Hasil siasatan, polis turut mengesan simpanan berjumlah RM1.4 juta dalam akaun bank wanita berusia 28 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata, wanita itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini, sebaik tiba dengan menggunakan feri kira-kira pukul 6.30 petang.

"Dadah itu ditemui dalam beg galas yang dibawa wanita tersebut dan ia dianggarkan bernilai RM202,000 dan mampu dijual kepada kira-kira 50,000 penagih.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

"Polis juga sedang mengesan lain-lain harta milik suspek untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 ini," katanya kepada pemberita.

Che Ghazali berkata wanita berkenaan adalah antara dua pengedar yang berjaya diberkas menerusi Program Jihad Perangi Dadah yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan membersihkan pulau tersebut daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.


Kedua-duanya yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...