Umum sudah
maklum manifesto PR sempena PRU 13 sepatah perkataan pun tidak menyebut perihal
perlaksanaan hukum hudud, membuktikan PR tidak berhajat pun untuk membantu
merealisasikan gebang politik yang dicanangkan oleh PAS.
Atau boleh
juga dikatakan bahawa PAS sudah tidak berminat membicarakan perlaksanaannya
kerana sudah memahami senario semasa dan populasi penduduk negara ini belum
mengizinkan ke arah perlaksanaannya.
Tapi penulis
lebih percaya, ketidaksediaan PAS mendesak rakan sekutunya dalam PR seperti PKR
dan DAP memasukkan janji perlaksanaan hudud adalah disebabkan polisi PAS
sendiri yang sedari awal lagi hanya berminat memanipulasikan undang-undang
Islam itu demi meraih kepentingan politik kepartian.
Ini
dibuktikan dengan kenyataan pada 14 Disember 2011 oleh seorang pemimpin PAS
Kelantan yang juga adalah ADUN PAS Pasir Tumbuh merangkap Timbalan Ketua
Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah yang pernah menegaskan
bahawa;-
“Keuntungan
bagi PAS mungkin di negeri yang ramai orang Melayu tapi di negeri luar seperti
Selangor boleh jadi tidak untung. Apabila isu hudud di manipulasi, mungkin ada
‘backfire’ daripada pengundi bukan Islam,” demikian katanya ketika ditemu bual
oleh Malaysiakini di Kota Bharu hujung pada hujung tahun 2011.
Walau dibaca
berulang kali kenyataan pemimpin PAS itu, ia tetap membuktikan satu perkara,
yakni isu perlaksanaan hudud yang sering menjadi zikir politik PAS sejak hampir
3 dekad lalu nawaitu utamanya hanyalah untuk manfaat kepartian PAS sahaja.
Kenyataan
Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan itu juga banyak kebenarannya kerana
terbukti betul hudud hanya mainan politik PAS, ia terbukti di Kedah sekalipun
PAS menguasai negeri itu tapi satu draf hudud pun langsung tak di bawa ke DUN
untuk dibincangkan, hatta di Perak sebelum kejatuhan Kerajaan DAP-PAS juga isu
hudud menjadi taboo bagi pimpinan PAS.
Sementara di
Selangor yang mana PAS turut menganggotai Kerajaan Negeri juga tak kedengaran
kesungguhan PAS untuk membicarakan isu hudud apatah lagi untuk mengusulkan draf
mengenainya di DUN Selangor.
Tapi
disebalik semua itu, di Kelantan dan Terengganu isu hudud masih terus dimainkan
oleh PAS dan seringkali menjadi bualan hangat penyokong mereka baik di
kedai-kedai kopi mahupun ketika mereka melakukan ziarah kempen politik dari
rumah ke rumah.
Tidak pernah
lekang dari kutukan dan makian penyokong dan pemimpin PAS terhadap Kerajaan
Pusat yang ditunjangi UMNO dan BN, kononnya kerana menolak perlaksanaan hudud
dan enggan memartabatkan undang-undang Islam.
Tidak cukup
dengan propaganda sedemikian, ditohmah pula yang UMNO lebih mendaulatkan
Perlembagaan buatan manusia ataupun kerap digelar oleh penyokong PAS sebagai
perlembagaan Lord Reid, perlembagaan penjajah dan jahiliah.
Untuk
menampakkan perbezaan PAS supaya lebih kelihatan Islamik berbanding UMNO maka
pemimpin dan penyokong PAS tanpa segan silu mendabik dada yang Al-Quran &
Hadis serta undang-undang Islam akan berada di kedudukan tertinggi berbanding
Perlembagaan Negara sedia ada sekiranya PAS dan PR memerintah Malaysia.
Sama ada
mereka sedari atau sengaja buat pekak dan bisu, semasa PR melancarkan Buku
Jingga yang menjadi Dasar Bersama PR dan ditandatangani sama oleh Presiden PAS,
Abdul Hadi Awang secara jelas memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa PR
berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Negara dan segala isi peruntukan yang
terkandung di dalamnya.
Bagi rakyat
Malaysia yang waras dan segelintir penyokong PAS yang masih berakal tentu faham
ikrar dalam Buku Jingga itu seperti boomerang yang tepat ke dahi pemimpin dan
penyokong PAS. Bak kata orang tua-tua, ibarat menjilat ludah sendiri.
Kandungan
Manifesto Rakyat, Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan oleh PR dan
dipersetujui bersama oleh DAP, PKR dan PAS semalam yang langsung tidak menyentuh
isu hudud, barangkali sesuai kalau dikatakan manifesto itu ibarat nota selamat
tinggal oleh PAS kepada isu perlaksanaan hudud.
Malah tidak
keterlaluan jika penulis katakan Manifesto PR itu juga simbolik pengakhiran
propaganda PAS untuk mengangkat kedudukan Al-Quran & Hadis ke tempat
tertinggi mengatasi Perlembagaan Negara sekarang yang dikatakan sekular dan
jahiliah.
Ia satu
kejayaan manis kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim kerana buat pertama kalinya
Anwar menepati janji. Kenapa penulis berkata demikian? Ada sebabnya.
Pada 9
November 2011 sewaktu Anwar berdialog dengan kira-kira 200 orang pemimpin
masyarakat Cina dari 65 NGO di Subang Jaya, Selangor, Ketua Umum PKR itu telah
secara terbuka menegaskan janjinya bahawa isu perlaksanaan hudud tiada tempat
dalam dasar PR
Lebih setahun
berselang, terbukti Anwar menepati janjinya. Semalam Manifesto PR dilancarkan
setelah dipersetujui dan ditandatangani bersama oleh Presiden PAS, Abdul Hadi
Awang serta pemimpin PKR dan DAP. Tiada bantahan dari PAS sekalipun janji hudud
tak termaktub dalam agenda PR.
Penulis cuba
membayangkan entah apa reaksi rakan-rakan dari PAS jika mereka menyedari selama
bertahun-tahun lalu mereka sudah tertipu dengan propaganda bombastik berhubung
isu hudud. Mungkin akan ada yang hentak kepala pada dinding atau ada tepuk dahi
berkali-kali tanda kesal di kencing hidup-hidup oleh PAS.
Tapi betulkah
penyokong PAS akan menyedari dan benar-benar menginsafinya? Jangan bermimpi,
sebahagian besar ahli dan penyokong PAS sudah diasuh untuk wala’ buta tuli pada
pucuk pimpinan parti, usahlah pelik kalau dalam jangka waktu terdekat ini UMNO
& BN juga yang jadi sasaran tohmahan mereka. Sumber
No comments:
Post a Comment