23 November 2013

MANGSA DERA SELAMAT DIKEBUMIKAN

KUAH - Jenazah mualaf mangsa dera, Nur Salina Abdullah, 18, yang maut dipercayai didera selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Haji Ismail, Kampung Belanga Pecah, semalam.

Atas permintaan ayah kandungnya, Nai Koi See, 43, dia meminta mayat mangsa diuruskan mengikut cara Islam selepas mengetahui anaknya memeluk Islam pada 2 Januari lalu.

Suasana hujan renyai mengiringi jenazah semasa tiba di tanah perkuburan tersebut dan orang kampung dalam kariah Kampung Belanga Pecah telah pun bersiap sedia membantu menguruskan sebaik mungkin.

Ahli Jawatankuasa Surau Haji Ismail, Ahmad Shafie, 43, berkata, kariah kampung bersama golongan ibu sepakat menguruskan jenazah mangsa untuk disemadikan di situ.

"Alhamdulillah semuanya selamat. Semoga roh mangsa ditempatkan kalangan orang beriman, walaupun selama ini kebanyakan ahli kariah langsung tidak mengetahui kewujudan mangsa di kampung ini.

“Cuma agak terkilan, kami semua tidak dapat membantunya ketika masih hidup,” katanya selepas urusan pengebumian selesai.

Jenazah Nur Salina tiba sekitar jam 5 petang dan turut diiringi pegawai Agama Islam Daerah Langkawi untuk bersama-sama membantu memudahkan urusan pengebumian mangsa.

Solat jenazah diimamkan Johari Abdullah dari Masjid At Taqwa Kampung Kisap.

Kelmarin, Sinar Harian menyiarkan berita kematian Nur Salina akibat daripada penderaan kejam.

Terdapat pelbagai kesan lebam baru dan lama manakala kaki kanan mangsa dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong.

Selain itu, otak mangsa mengalami pendarahan teruk akibat hentakan dari penderaan yang dilakukan ke atasnya.

Sementara itu, ada antara penduduk kampung, Halijah Zakaria melahirkan rasa terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka dua suspek utama tersebut kerana mereka cukup mesra dan ramah.

"Tak sangka betul, kita tengok keluarga ni cukup baik, cara mereka melayan anak-anak mereka membuatkan kami rasa cemburu, tetapi kejadian ini telah menyatakan kebenaran sebaliknya.

“Cuma kami mahu masyarakat luar kembali mengubah persepsi negatif tentang kampung kami. Keluarga ini orang luar yang baru sahaja berpindah dan menyewa rumah hampir setahun lalu,” katanya.


Dua suspek utama  ditahan manakala dua lagi ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

20 November 2013

LANGKAWI NATURALLY MAGICAL, KEDAH

Sabtu, 16 November bertempat di Zebra Square, Kg Pandan berlangsungnya majlis sidang media dan pelancaran Langkawi Naturally Magical, Kedah yang bakal diadakan selama 18 hari..

Seperti semua sedia maklum, tahun 2014 merupakan Tahun Melawat Malaysia dan merupakan kali keempat bagi Malaysia selepas tahun 1990, 1994 dan 2007..

Majlis yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir ini akan bermula pada 19 Disember 2013 selama 18 hari bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut Datuk Paduka Mukhriz, beliau percaya Kedah berpotensi menjadi salah satu destinasi perlancongan dan Langkawi merupakan platform terbaik bagi memperkenalkan destinasi perlancongan Negeri Kedah.

Beliau juga berharap festival seperti ini akan terus menjadi acara tahunan supaya lebih ramai lagi pelancong mengenali Langkawi.

Manakala menurut Ketua Setiausaha di Kementerian Perlancongan dan Kebudayaan, Dr Ong Hong Peng "Langkawi Naturally Magical, Kedah" merupakan gabungan strategic antara Kementerian, Negeri Kedah, LADA dan Naturally Magical Sdn Bhd.

Festival yang bakal berakhir pada 5 Januari ini mensajikan pengunjung hiburan sepanjang hari merangkumi baazar jualan, pertunjukkan belon panas, pertunjukkan laser dan bunga api serta persembahan dari artis tempatan dan luar Negara seperti M.Nasir, Faizal Tahir, Anuar Zain, Rossa, Ungu (Indonesia) dan Sek Laso (Thailand).


Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Festival Magikal yang bakal berlangsung selama 18 hari ini, boleh layari  www.langkawimagikal.com.my

19 November 2013

GADIS KOMA DIDERA KELUARGA ANGKAT MENINGGAL

LANGKAWI: Seorang gadis mualaf Nur Salina binti Abdullah, 18 tahun berketurunan Cina dari Kampung Belanga Pecah, Langkawi yang dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Besar Langkawi tiga hari lepas kerana disyaki didera oleh keluarga angkatnya dilaporkan meninggal dunia jam 8.40 malam tadi.

Kematian gadis malang itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, ACP Mohd Nashir Ya.

Pihak media yang cuba untuk mendapatkan visual Allahyarham sejak petang bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pihak hospital merakam visual walau pun hanya berada di kawasan kecemasan.

Kesukaran untuk mendapatkan visual menyebabkan kru media kemudiannya beralih ke tempat tinggal mangsa kira-kira 10 kilometer dari hospital yang juga merupakan sebuah kedai makan.

Kedai makan terbabit diusahakan oleh keluarga tersebut di Kampung Belanga Pecah, Kisap, Langkawi.

Petang tadi, menurut jiran yang enggan namanya disiarkan memberitahu ayah dan ibu angkat mangsa berketurunan India Islam yang merupakan suspek utama telah pun ditahan reman pihak polis dua hari lalu.

Difahamkan mangsa telah dijaga oleh keluarga angkatnya sejak berumur empat tahun namun hanya memeluk Islam sejak setahun lepas.

Suspek, bapa angkat dikatakan seorang yang garang dan turut juga mempunyai tiga anak sendiri iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Keluarga tersebut berasal dari Pulau Pinang dan telah berhijrah ke Langkawi setahun lepas serta menjalankan perniagaan di sini.

Semasa berada di premis tersebut kelihatan seorang anak lelaki suspek namun setelah ditanya, beliau tidak mahu memberi maklumat lanjut hanya memberitahu tidak ada gambar Nur Salina kerana “semuanya telah dibawa ke balai”.


Menurut jiran tersebut, mangsa seorang yang baik dan pendiam namun sejak empat hari lepas kelihatan tidak sihat dengan keadaan kaki yang bengkak semasa sedang menyidai baju di bahagian belakang premis kedai makan terbabit.

POLIS SAHKAN HANYA SEORANG HILANG

Johor Bahru: Polis Johor mengesahkan hanya seorang remaja, bukan 23 yang didakwa hilang di sebuah banglo usang di Jalan Skudai, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, berkata pihaknya hanya menerima satu laporan jam 1 pagi kelmarin, berhubung kehilangan remaja berusia 16 tahun itu.    

“Laporan dibuat ibu mangsa selepas dimaklumkan oleh rakan anaknya itu yang mangsa masuk kawasan villa tinggal berkenaan.

"Jika benar dakwaan terdapat puluhan individu hilang di villa terbabit, keluarga atau waris mereka diminta membuat laporan polis untuk siasatan” Abdul Samad Salleh, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan

“Sejurus mendapat laporan itu, polis bersama Unit Anjing Pengesan dan bomba menyiasat lokasi terbabit, namun sehingga kini masih tidak menemui remaja itu,” katanya.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...