KUALA LUMPUR
25 Feb. - Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dibentangkan pakatan
pembangkang mempunyai agenda tersembunyi untuk menukar imej Pas daripada
menegakkan Islam dan Melayu kepada ‘Malaysian Malaysia’, kata Presiden
Jati Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ali.
Malah, jelas
beliau, manifesto tersebut tidak mengambil kira kelangsungan umat Melayu
sebagai pribumi dan pelaksanaan syariat Islam seperti yang tertanam di hati
sanubari ahli dan penyokong Pas.
Hasan
berkata, amat jelas sama ada disedari pemimpin tertinggi Pas atau tidak,
manifesto ini satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej Pas yang sebelum
ini tegak dengan Islam dan Melayunya supaya menerima hakikat ‘Malaysian
Malaysia’,
sama rata dan sama rasa.
Beliau
memberitahu, manifesto tersebut langsung tidak memberi penjelasan mengenai
rangka kerja mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu.
"Bangsa
Melayu yang masih serba-serbi ketinggalan terutama dalam bidang ekonomi dan
penguasaan kekayaan negara seharusnya perlu terus menerima asuhan, bimbingan,
galakan dan pakej bantuan menyeluruh bagi melonjakkan pencapaian mereka supaya
menjadi bangsa bermaruah yang mampu bersaing di peringkat nasional mahupun
global bila Malaysia menjadi negara maju nanti," katanya. - UTUSAN ONLINE
Berikut
kenyataan penuh Hasan:
MANIFESTO
PAKATAN BERBAU MALAYSIAN MALAYSIA
Pakatan
Rakyat telahpun membentangkan manifesto mereka dalam Konvesyen Pakatan Rakyat
yang berlangsung di Shah Alam pada hari ini.
Penelitian
ringkas yang dibuat menunjukkan bahawa manifesto tersebut tidak ada yang baru.
Semuanya memang telah diwar-warkan dan menjadi pengetahuan umum sejak dari
awal-awal lagi. Ianya dibuat sebagai tawaran untuk memujuk rakyat supaya
berpaling kepada Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13.
Yang jelasnya
beberapa perkara dapat disimpulkan seperti berikut :
a. Manifesto
yang dibentangkan tidak mengambil kira langsung keberlangsungan umat Melayu
sebagai umat pribumi dan perlaksanaan syariat Islam seperti yang tertanam di
hati sanubari ahli dan penyokong PAS. Amat jelas samada disedari oleh
pimpinan-pimpinan tertinggi PAS ataupun tidak, manifesto ini merupakan satu
pendekatan tersembunyi untuk menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan
Islam dan Melayunya supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia", “samarata"
dan “samarasa".
b. Manifesto
tersebut tidak memberi penjelasan langsung rangka kerja mengagungkan Islam dan
memartabatkan bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang masih serba serbinya
ketinggalan terutamanya di bidang ekonomi dan penguasaan kekayaan negara
seharusnya perlu terus menerima asuhan, bimbingan, galakan dan pakej bantuan
menyeluruh bagi melonjakkan pencapaian mereka supaya menjadi bangsa bermaruah
yang mampu bersaing diperingkat nasional mahupun global bila Malaysia menjadi
negara maju nanti.
c. Manifesto
Pakatan Rakyat mengenepikan langsung pembangunan keinsanan dan kerohanian. PAS
sebagai salah sebuah parti Islam yang kini merupakan salah sebuah parti
komponen Pakatan Rakyat biasanya mengutarakan konsep insan sepadu yang mesti
dibangunkan seutuhnya. Ini bermakna di samping kemajuan material, pembangunan
seharusnya menekankan aspek mental dan intelektual terutamanya spiritual yang
akan menjamin lahirnya masyarakat yang seimbang pembangunannya. Sementara di
peringkat individu seimbang juga syaksiah keperibadiannya. Rakyat sedemikianlah
yang di harap mampu menjelmakan konsep “Baldatun Tayyibatun Warabbun
Ghaffur" seperti yang disebut berulang kali oleh pimpinan PAS.
d. Apa yang
ditawarkan pada analisa akhirnya lahirlah manusia-manusia yang teguh kedudukan
material yang lazimnya mudah menonjolkan sifat-sifat keangkuhan, kesombongan
dan kebongkakan demi mengejar “superiority material". Akhirnya
segelintir rakyat mungkin boleh mencapai kelebihan material itu dengan
menidakkan sebahagian besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti yang
tidak mempunyai persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di
hadapan mereka.
e. Kita sudah
menyaksikan bagaimana masyarakat barat melalui proses untuk mencapai tahap
kemajuan dan kesejahteraan material seperti yang dibangga-banggakan. Atas
tekanan material semata-mata akhirnya masyarakat dibebani dengan berbagai
penyakit masyarakat samada yang timbul daripada masyarakat itu sendiri atau
yang diimport daripada luar.
Rata-ratanya
masyarakat tidak mempunyai benteng pertahanan untuk mempertahankan keutuhan
nilai-nilai sosio budaya, akhlak, budi pekerti dan tata susila dan kekuatan
dalaman yang sangat diperlukan untuk menongkah cabaran abad yang berikutnya.
f. Seperti yang
di ulas panjang lebar sebelum ini tawaran-tawaran yang dikemukakan tidak lebih
daripada janji-janji kosong setakat untuk menggamit keyakinan pengundi untuk
memilih Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13. Yang paling mudah bagi mereka nanti
bila sampai masanya bila janji-janji dituntut oleh rakyat, dengan mudah mereka
akan mengatakan “manifesto
bukan satu perjanjian". Ini menggambarkan bahawa kalimat-kalimat dalam
manifesto itu tidak lebih lebih daripada sususan ayat-ayat yang disalut dengan
gula-gula manis untuk memikat hati rakyat. Bila sampai masanya mereka mencari
seribu dalih memberi justifikasi mengapa manifesto tersebut tidak dapat
dilaksanakan.
g. Para
penganalisa politik sehinggi kini menyebutkan bahawa tawaran Pakatan Rakyat
dalam konteks pembangunan sebuah negara seperti Malaysia dapat disamakan
seperti mimpi disiang hari. Pakar-pakar ekonomi pula menghujahkan seandaianya
sebahagian apa lagi kesemua butiran-butiran manifesto itu hendak dilaksanakan,
Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara muflis. Ketika itu pihak yang
menawarkan bintang dan bulan tersebut mudah mencuci tangan sebaliknya rakyatlah
yang akan menanggung bahana dan derita yang mungkin berpanjangan hingga ke
beberapa generasi yang akan datang.
h. Bagi
mereka yang belum mempunyai pengalaman mengurus dan mentadbir sebuah negara,
tawaran-tawaran yang dibuat lebih mudah untuk dinukilkan. Sebaliknya kepada
pihak yang sudah berpengalaman mengurus negara sudah tentu mengambil kira
berbagai faktor terutamanya faktor boleh atau tidak boleh tawaran itu
dilaksanakan. Kita belum melihat tawaran daripada BN lagi. Seandainya BN juga
dalam masa terdekat ini dapat mengemukakan manifesto mereka, maka bolehlah
rakyat membuat penelitian dan mengambil satu posisi terhadap kedua-dua
manifesto tersebut. Barulah rakyat boleh menilai yang mana yang lebih munasabah
dan yang mana yang boleh dipercayai serta yang mana yang mempunyai kredibiliti
untuk diberi mandat di dalam PRU ke 13 nanti.
Setakat yang
dapat kita saksikan di negeri-negeri dalamana Pakatan Rakyat diberi peluang
oleh rakyat untuk mentadbirnya, fakta-fakta menunjukkan bahawa sebahagaian yang
dijanjikan dalam manifesto untuk masing-masing negeri tidak berjalan seperti
yang diharapkan. Harga rumah yang rata-ratanya melambung tinggi menjadi
penyebab orang-orang Melayu di Pualu Pinang dan Selangor keluar mencari tempat
kediaman di kawasan-kawasan pinggiran bandar, luar bandar dan kawasan terpencil
menghampiri hutan simpan yang mampu dimiliki sesuai dengan pendapatan isi rumah
mereka.
Seperkara
lagi bagi Pakatan Rakyat mereka boleh janjikan apa sahaja. Lantaran kemungkinan
untuk memenangi Putrajaya masih jauh daripada yang diangan-angankan. Oleh itu
tektik yang paling mudah tawarkanlah apa sahaja. Beri rakyat bulan dan bintang.
Manalah tahu, kalau ada di antara rakyat yang boleh terpengaruh dengan
janji-janji politik yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan yang
terkenal lunak dan bijak mengabui mata dan minda rakyat.
Hanya
rakyatlah yang semestinya bijak. 55 tahun kita merdeka, sepatutnya tidak ada
golongan rakyat di Malaysia yang masih boleh digula-gulakan. Tidak ada lagi
golongan rakyat di negara ini yang sanggup diperkotak-katikkan kebolehan minda
dan kebijaksanaan membuat keputusan. Rakyat Malaysia sudah dimasukkan ke dalam
kumpulan rakyat yang berpendidikan. Rakyat yang boleh menentukan masa depan
untuk diri, keluarga, masyarakat dan negaranya sendiri.
YB DATO DR
HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
Malaysia
TTDI, KL
25 Februari
2013