17 March 2012

Siasatan kerjasama PKR, badan asing berdasarkan bukti - KDN

KLUANG 17 Mac — Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini meminta Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim supaya mengemukakan bukti mengenai wujudnya kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan dua badan asing berkaitan Yahudi supaya siasatan mengenainya dapat dilakukan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut tetapi ia perlu bersandarkan pada bukti yang didakwa ada pada Ahli Parlimen itu.
"Kalau ada bukti, panjangkan kepada saya. Kalau ada kaitan dengan agensi lain seperti transaksi kewangan, kita (KDN) kena serahkan kepada Bank Negara kerana kita tidak mempunyai kepakaran untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita selepas majlis mesra rakyat bersama usahawan Tekun dan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sembrong di Felda Ulu Belitong, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Zahrain pada persidangan Dewan Rakyat dua hari lepas yang berharap KDN tidak mengambil mudah mengenai dakwaan kononnya wujud kerjasama PKR dengan dua badan asing berkaitan Yahudi bagi membentuk gerak kerja pilihan raya bagi menentang Barisan Nasional.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...