27 March 2012

PKR DICABAR SAMAN BN


ALOR SETAR - PKR dicabar menyaman Barisan Nasional (BN) Selangor jika kenyataan Koordinatornya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berhubung dakwaan parti itu meminta bantuan pertubu­han­ bukan kerajaan (NGO) asing mempunyai kaitan dengan Yahudi adalah palsu.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mereka turut mencabar penasihat parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman bagi membersihkan dirinya sekiranya kenyataan itu tidak benar.
Menurutnya, beliau sendiri terkejut dengan tindakan PKR yang meminta bantuan Konrad Adeneur Foundation (KAF) untuk menjatuhkan kerajaan BN termasuk mendapatkan dana serta khidmat teknikal dari NGO luar negara itu.
“Rakyat negara ini harus menentang sekerasnya usaha berkenaan demi cinta kepada negara dan agama. Saya percaya pendedahan­ itu adalah benar dan kita bimbang pentadbiran negara kelak akan ditentukan pihak luar seperti yang berlaku dalam pergolakan politik di negara lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, rakyat harus sedar ada sebilangan pihak luar negara sememangnya tidak senang dengan pentadbiran negara ini dan mereka berusaha membantu pihak yang menentang kerajaan BN.
“Kita juga mahu tahu apa pendirian Pas berhubung isu ini?. Adakah Pas masih sanggup bekerjasama dengan PKR yang mempunyai godfather pihak anti-Islam seperti tindakan mendapatkan bantuan dana. Adakah Pas berani membantah tindakan PKR berkenaan dan menarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR) atau tetap bersama dengan pakatan dan turut melibatkan diri dalam perancangan NGO yang ada kaitan dengan Yahudi itu?,” katanya.
Katanya, sejak beberapa tahun lalu, memang ada gerakan terancang dan tersusun dengan baik, sama ada di peringkat antarabangsa serta dalam negeri bermatlamat menjatuhkan BN.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...