25 March 2012

MUKHRIZ DAKWA PAKATAN RAKYAT LONTAR 'PEMBOHONGAN DEMI PEMBOHONGAN'


PENDANG - Rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan kenyataan palsu pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bertujuan mengaburi pemikiran rakyat demi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kebelakangan ini beliau melihat seolah-olah wujud satu usaha rapi yang dijalankan PR dengan melontarkan penipuan termasuk di Dewan Rakyat.
"Trend penipuan demi penipuan termasuk melibatkan isu sokongan terhadap Israel, isu Lynas dan isu dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang didakwa haram bertujuan mengaburi pandangan rakyat agar mereka dapat memenangi PRU.
"Rakyat perlu berhati-hati dan menyiasat semua kenyataan pemimpin PR. Jangan terima bulat-bulat semua yang diperkatakan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Jentera Pilihan Raya Puteri Umno Kedah, hari ini.
Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini adalah satu contoh penipuan secara terang-terangan.
"Johari menyatakan bahawa kenyataan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berhubung sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan Israel menerusi The Wall Street Journal, (WSJ) bersifat bersyarat iaitu Israel perlu menghormati Palestin.
"Saya berasa terkejut dan hairan kerana seorang ahli parlimen boleh membuat penipuan secara terbuka dalam dewan. Kenyataan Johari satu pembohongan kerana hakikatnya apa yang dilaporkan dalam WSJ adalah kenyataan yang mutlak dan tidak bersyarat," katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tidak salah berurus niaga dengan Yahudi selagi golongan itu tidak mempunyai agenda jahat, disifatkannya berasas.
"Kita perlu faham kerana perbezaan antara Yahudi dan Zionis amat ketara, tidak semua Yahudi menyokong Zionis dan bukan semua Zionis itu Yahudi.
"Ada antara mereka yang menentang fahaman zionisme dan mahukan pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan segera," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...