26 March 2012

MB KEDAH:PKR, DAP PERLU BERTOLAK ANSUR


JITRA - Menteri BesarKedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta kepimpinan PKR dan DAP di negeri itu bertolak ansur dalam isu berkaitan dengan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, kedua-dua parti perlu mencari jalan penyelesaian terbaik berdasarkan situasi menang-menang untuk menghadapi PRU13.
“Agihan kerusi antara Pas dan PKR sudah selesai dan kita masih mengekalkan formula berdasarkan apa yang dipersetujui pada PRU 2008.
“Namun antara PKR dan DAP masih ada sedikit lagi yang sedang dibincangkan…rundingan masih dijalankan dan kita sebagai abang tua, berharap mereka boleh mencapai kata sepakat berdasarkan situasi menang-menang,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Pelubang sempena Hari Air Sedunia 2012,  semalam.
Difahamkan sehingga kini rundingan mengenai agihan kerusi antara kedua parti itu masih belum dapat diselesaikan berikutan pertembungan antara PKR dengan DAP berkenaan kerusi Parlimen Alor Setar dan Padang Seraiselain kerusi Dun melibatkan kawasan Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas serta Derga.
Azizan berkata, perkara itu tidak terlalu penting kerana mereka tidak boleh bergaduh sesama sendiri sebaliknya memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi PRU serta bertolak ansur dalam sesuatu perkara.
Pada PRU12, Kedah yang mempunyai 36 kerusi Dun, Pas bertanding di 24 kerusi manakala PKR (10 kerusi) dan DAP (dua).
Daripada jumlah itu, Pas menang 16 kerusi, PKR  lima kerusi dan DAP menang satu kerusi.
Bagaimanapuan, dua daripada lima wakil rakyat PKR kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Agihan kerusi antara PKR dan DAP kembali hangat bulan lalu apabila Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik meminta penjelasan daripada Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Ahmad berikutan kenyataannya yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab kerana menganggap agihan kerusi PKR dan DAP sudah selesai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...