23 September 2014

MB SELANGOR KE-15


Mohamed Azmin Ali, yang mengisi jawatan menteri besar Selangor ke-15 hari ini adalah ahli politik yang paling lantang mengkritik pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dianggapnya lemah dan tidak cekap.

Kritikan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu sehingga sampai ke tahap beliau mendesak supaya Khalid dipecat daripada jawatannya.

Azmin, 50, juga merupakan antara pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang membantah keras pelantikan semula Khalid sebagai menteri besar selepas gabungan longgar parti PAS, DAP dan PKR itu berjaya mengekalkan kuasa di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun lepas.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat tidak sehaluan dalam banyak perkara terutama yang membabitkan pentadbiran negeri serta parti dan perseteruan antara mereka mencetuskan pergolakan dalam kepimpinan PKR serta penyokong masing-masing.

Krisis antara Azmin dan Khalid memuncak apabila Azmin digugurkan daripada senarai ahli lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 4 Disember tahun lepas, yang menurut beliau merupakan perancangan kem Khalid untuk mengurangkan pengaruhnya.

Permusuhan itu berlanjutan apabila Khalid memutuskan untuk menentang Azmin dalam pemilihan timbalan presiden PKR tetapi persaingan itu berakhir apabila Khalid dipecat daripada parti pada 9 Ogos lepas.

Pagi ini, Azmin secara rasminya menggantikan Khalid, menteri besar Selangor sejak 2008.

Kini tiba masanya Azmin untuk membuktikan kritikannya selama ini ke atas Khalid adalah berasas dan perlu mempamerkan kepimpinan yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...