KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
dalam pernyataan pembelaannya hari ini menafikan beliau meliwat bekas pembantu
peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.
Anwar membuat penafian itu dalam pernyataan pembelaan yang
diserahkan kepada Mahkamah Tinggi di sini oleh peguamnya Shahid Adli Kamarudin,
pada pengurusan kes saman, yang difailkan Mohd Saiful pada 23 Jun lepas bagi
menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung kes liwatnya.
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata dakwaan bahawa
beliau meliwat Mohd Saiful adalah tidak benar kerana menurutnya kejadian liwat
itu tidak pernah berlaku.
Anwar berkata ketika kejadian pada 26 Jun 2008, beliau hanya
meminta satu sampul surat dihantar kepadanya ketika menghadiri mesyuarat di
Damansara dan surat itu telah dihantar oleh Mohd Saiful kerana hanya beliau
(Mohd Saiful) yang berada di pejabat Parti Keadilan Rakyat pada masa itu.
Beliau mendakwa laporan polis yang dibuat Mohd Saiful pada
28 Jun 2008 mengenai kejadian liwat itu berniat jahat dan mempunyai sebab yang
tersembunyi untuk memburukkan dan merosakkan karier politiknya.
Media memperoleh pernyataan pembelaan itu daripada Shahid
Adli pada pengurusan kes itu hari ini yang didengar di dalam kamar di hadapan
Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan dengan dihadiri peguam Zamri Idrus yang
mewakili Mohd Saiful.
Zamri kemudiannya memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan
18 Nov depan untuk pengurusan kes.
Mohd Saiful memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM50
juta selepas mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung
penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat diliwat oleh Anwar.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Saiful mendakwa Anwar menuduh
laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2008 mengenai kejadian liwat itu sebagai
satu fitnah dan konspirasi terhadap Anwar.
Mohd Saiful juga mendakwa beliau tidak pernah berbohong
dengan kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar telah meliwatnya dan
kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008, di Unit 1151, Kondominium
Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.
Mohd Saiful mendakwa beliau telah dipandang rendah oleh
masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, dicemuh di laman-laman
sosial dan telah mengalami tekanan teruk akibat daripada fitnah dan kejadian
liwat itu.
Sehubungan itu, Mohd Saiful memohon ganti rugi RM50 juta,
ganti rugi am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap
sesuai oleh mahkamah.
No comments:
Post a Comment