02 October 2014

BEKU SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE)

KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di kawasan bekas Menteri Besar Selangor itu.

Abdul Khalid kini adalah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Faezah mendakwa tindakan itu yang dipercayai mendapat arahan daripada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bukan saja menghukum Abdul Khalid, malah seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

"Tindakan pantas Menteri Besar baharu ini seolah-olah jawapan atau reaksi kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menasihatkan supaya kepimpinan negeri Selangor mengenepikan sengketa dan membuka lembaran baharu demi rakyat.
"Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada UMNO tetapi kepada rakan sekutu yang sudah bersama berjuang untuk rakyat.

"Amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas Menteri Besar yang selama ini bertungkus lumus memperkasa program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Justeru itu, beliau mendesak Mohamed Azmin memberi penjelasan munasabah bahawa arahan ini bukan kerana politik balas dendam atau mahu menghukum Abdul Khalid.


"Saya percaya barisan pimpinan negeri yang lain tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia boleh membangkitkan kebencian yang berterusan terhadap Pakatan Rakyat yang sudah pun berputik dan semakin merebak sejak bermulanya 'Langkah Kajang'," katanya..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...