20 October 2014

HELANG TERBANG TINGGI - KEDAH VS PAHANG 3-1

KEDAH selaku pasukan bukan pilihan, sekali lagi mencipta kejutan apabila berjaya mengatasi juara bertahan, Pahang 3-1 pada saingan separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2014 di Stadium Darul Aman Alor Setar, malam tadi.

Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong sendiri, Kedah memulakan permainan dengan aksi meyakinkan dengan melakukan serangan bertali arus ke gawang pasukan lawan.

Usaha skuad Helang Merah membuahkan hasil seawal minit kesembilan menerusi pemain importnya, Namkung Woong yang melepaskan rembatan kecang daripada luar kotak penalti untuk membolehkan tuan rumah mendahului 1-0.

Skuad Tok Gajah yang cuba untuk bangkit, sekali lagi dikecewakan apabila gawang golnya dibolosi sekali lagi pada minit ke-49 menerusi Mohd. Farhan Roslan yang menanduk kemas bola hantaran Baddrol Bakhtiar.


Namun, pada minit-minit akhir perlawanan, gawang Helang Merah berjaya dibolosi Pahang menerusi Matias Ruben Conti.

Bagaimanapun, kegembiraan Pahang hanya seketika apabila Kedah berjaya menyumbat gol ketiga menerusi Khyril Muhymeen, sekali gus membolehkan Kedah mendahului 3-1.

Skuad Tok Gajah turut membuat asakan namun ternyata benteng pertahanan Kedah selaku juara trebel musim 2007/08 sukar ditembusi.

Kelebihan agregat dua gol itu akan menjadi pembakar semangat kepada Kedah untuk terus menyumbat gol di tempat lawan pada aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang pada 24 Oktober nanti.

Hadir menyaksikan perlawanan malam tadi ialah Tengku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

“Saya kagum dengan komitmen para pemain Kedah pada perlawnaan ini. Mereka telah bekerja keras sepanjang perlawanan ini dan inilah hasilnya. Saya berharap rentak cemerlang ini akan diterukan pada aksi kedua di Kuantan nanti,” jelas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...