15 August 2012

LAILATUL QADAR MALAM SERIBU BULAN



Ada tugasan terakhir yang paling penting dalam sisa malam-malam Ramadhan iaitu mencari Malam Lailatul Qadar malam yang LEBIH BAIK dari 1000 bulan. Banyak ulasan yang kita baca dan dengar tentang kehebatan Malam Lailatul Qadar. Malam yang penuh keberkatan dan kelebihan tertentu yang boleh merubah kehidupan kita 360 darjah pusingan.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam Lailatul Qadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatul Qadar yang mulia. 

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya yang maksudnya: “Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain.”Hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a. yang maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagimana kiranya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut” yang maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan oleh itu maafkanlah salah silapku.”

Bukan mudah orang biasa seperti aku untuk mencari Malam Lailatul Qadar yang tepat kerana itu adalah Rahsia ALLAH SWT supaya umat manusia berusaha bersungguh mencari Malam Lailatul Qadar. Hanya ada satu Tips Pasti Berjumpa Malam Lailatul Qadar iaitu dengan beramal bersungguh-sungguh pada setiap malam 10 yang akhir di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan Qiamulai, Berzikir, Membaca Al Quran dan Berdoa memohon keampunan dan keredhaan ALLAH SWT. Insyallah dengan kita beramal setiap malam 10 akhir Ramadhan pasti salah satu malam tersebut adalah Malam Lailatul Qadar. Jangan lupa doa kita untuk Umat dan Makhluk seluruh alam insyallah Malaikat akan mendoakan kebaikan untuk kita kembali.

Dari Aisyah Radiallahuanha, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan". (HR Bukhari)

Aisyah Radiallahuanha mengatakan, “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR Bukhari dan Muslim)


Daripada Aisyah r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, jikalau saya mengetahui bila lailatul-qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan pada malam itu?" Beliau s.a.w. menjawab: "Ucapkanah: "Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni" (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku). (HR Termidzi)

Hikmah Allah menyembunyikan pengetahuan tentang bila terjadinya lailatul qadar di antaranya adalah agar terbeza antara orang yang sungguh-sungguh untuk mencari malam tersebut dengan orang yang malas.

Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat. Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan hanya dalam jangka masa satu malam?

Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat. Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja, insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.

Sumber
Al Quran, Hadis

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...