Pas tidak lagi berlapik apabila secara terbuka mengaitkan
Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan Pengarah Pilihan Raya parti itu,
Dr. Mohd. Hatta Ramli sebagai dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Menyifatkan kedua-dua pemimpin tersebut sebagai biadab,
wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Fauzi Hussin, seterusnya mendesak tindakan tegas
termasuk memecat Mohamad dan Mohd. Hatta bagi merawat kembali parti itu yang
kini dilanda perpecahan.
Beliau yang berkias dengan mengaitkan permasalahan Pas
kini seperti penyakit kencing manis berkata, apabila mana-mana anggota badan
dijangkiti penyakit tersebut langkah terbaik bagi menyelamatkan nyawa adalah
dengan memotong bahagian terlibat. “Mana tindakan kita bila ada suara sumbang
pertikai Presiden? Mereka datang rasmi mesyuarat cawangan tapi cerita keburukan
Presiden. Ini jelas biadab.
Perlu tindakan tegas tidak kiralah siapa pun
walaupun pangkat dia Timbalan Presiden atau Pengarah Pilihan Raya parti.
“Kalau isteri ingkar perintah suami maka jatuh nusyuz dan
adalah dayus jika kita tidak ceraikan bini yang nusyuz,” katanya semasa
membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam
Multaqa Ulama SeMalaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, dekat sini
hari ini.
Pada 8 Februari lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim
bersama kira-kira 300 ahli yang merupakan penyokong Abdul Hadi berhimpun di ibu
pejabat parti itu mendesak Mohd. Hatta dan mereka yang terlibat dalam komplot
menjatuhkan Presiden serta kepemimpinan ulama meletak jawatan. Dalam laporan
sebuah portal baru-baru ini, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia
(PasMa),
Datuk Phahrolrazi Zawawi mengakui terdapat perbincangan dalam parti
berhubung kedudukan Abdul Hadi sebagai presiden Pas. Bagaimanapun, beliau
dilaporkan menafikan terlibat dalam kumpulan itu walaupun ada pihak yang
mengaitkannya bersama Mohamad, Mohd. Hatta dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam
Musa dalam kumpulan yang didakwa cuba menjatuhkan Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Fauzi bertindak menyelar sikap Mohamad yang
sering kali menyifatkan kenyataan Abdul Hadi mengenai pelbagai isu berkait
pakatan pembangkang cuma sebagai pandangan peribadi Presiden Pas tersebut dan
bukan mewakili pendirian parti.
Katanya, jika begitu pendirian yang diambil
oleh Mohamad, mengapa Timbalan Presiden Pas tersebut tidak pula tampil
menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pandangan peribadi dalam isu serupa.
“Sebab
itu pada saya, seluruh ahli Majlis Syura Ulama perlu bertegas, mesti menyatakan
pendirian segera dan jangan ada muslihat (kerana) kepentingan jemaah perlu
dijaga, kalau tidak kekuatan yang ada pada kita pada hari ini akan hilang,”
katanya.
No comments:
Post a Comment