31 January 2015

TEAM KEDAH BERWAJAH BAHARU - TAHNIAH DS MUKHRIZ

Langkawi: Skuad Kedah di bawah kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe perlu tampil lebih garang pada aksi Liga Malaysia musim ini bagi kembali bersaing dalam kancah Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, berikutan itu kerajaan negeri akan memberi sokongan padu termasuk aspek kewangan bagi memastikan tumpuan pasukan terhadap kempen musim ini tidak terjejas.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di samping turut mendapatkan beberapa penaja lain dalam usaha memastikan pasukan Kedah yang beraksi dalam Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bebas daripada masalah.

“Sasaran musim ini meletakkan kembali Kedah dalam saingan Liga Super,” katanya yang juga Menteri Besar selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi baharu skuad itu, malam kelmarin.


Selain kerajaan negeri selaku penaja utama, Mukhriz turut mengumumkan barisan penaja baru yang membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Kumpulan Naza, THB Management dan Warrix.

Majlis sama turut menyaksikan kembalinya pemain seperti Sabree Mat Abu, Solihin Kanasian Abdullah (K Soley) dan Ahmad Shakir Ali serta kekalnya tonggak pasukan Baddrol Bakhtiar dalam skuad itu.

Tiga pemain import yang pertama kali menyarung jersi skuad itu membabitkan Lawrence Omondi Olum dari Kenya, Seung Hwan Bang (Korea Selatan), Keith M Nah (Liberia) dan Chidi Edeh (Nigeria).


Skuad Helang Merah turut mengekalkan Khairul Helmi Johari yang lebih mesra dipanggil Kay On selaku ketua pasukan untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...