03 December 2013

TERTUDUH DIDAKWA KES DERA NUR SALINA ABDULLAH

Alor Setar: Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan yang juga mualaf, Nur Salina Abdullah, 18, yang didera antara awal Oktober hingga November lalu.

Tertuduh, Sharom Bee Ismail, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa menyebabkan kematian ke atas Nai Ah Nung atau nama Islamnya Nur Salina Abdullah dengan niat menyebabkan kematian atau sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematiannya.

Tertuduh yang juga majikan mangsa didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 270, Kampung Belanga Pecah, Langkawi, antara awal Oktober hingga November lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sharom Bee yang memakai baju berwarna oren dan bertudung hitam kelihatan tenang selepas hakim menetapkan 29 Januari depan sebagai sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rizal Fadzil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 18 November lalu, akhbar ini melaporkan seorang remaja perempuan yang koma selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Langkawi dipercayai menjadi mangsa dera majikannya meninggal dunia, sehari sebelum itu.


Remaja berkenaan menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 malam selepas lebih sehari dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ketika merawatnya, doktor menemui beberapa kesan lebam lama dan baru di beberapa bahagian tubuh remaja itu. Berikutan itu, polis menahan reman sepasang suami isteri berusia 36 dan 43 tahun untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...