23 November 2013

MANGSA DERA SELAMAT DIKEBUMIKAN

KUAH - Jenazah mualaf mangsa dera, Nur Salina Abdullah, 18, yang maut dipercayai didera selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Haji Ismail, Kampung Belanga Pecah, semalam.

Atas permintaan ayah kandungnya, Nai Koi See, 43, dia meminta mayat mangsa diuruskan mengikut cara Islam selepas mengetahui anaknya memeluk Islam pada 2 Januari lalu.

Suasana hujan renyai mengiringi jenazah semasa tiba di tanah perkuburan tersebut dan orang kampung dalam kariah Kampung Belanga Pecah telah pun bersiap sedia membantu menguruskan sebaik mungkin.

Ahli Jawatankuasa Surau Haji Ismail, Ahmad Shafie, 43, berkata, kariah kampung bersama golongan ibu sepakat menguruskan jenazah mangsa untuk disemadikan di situ.

"Alhamdulillah semuanya selamat. Semoga roh mangsa ditempatkan kalangan orang beriman, walaupun selama ini kebanyakan ahli kariah langsung tidak mengetahui kewujudan mangsa di kampung ini.

“Cuma agak terkilan, kami semua tidak dapat membantunya ketika masih hidup,” katanya selepas urusan pengebumian selesai.

Jenazah Nur Salina tiba sekitar jam 5 petang dan turut diiringi pegawai Agama Islam Daerah Langkawi untuk bersama-sama membantu memudahkan urusan pengebumian mangsa.

Solat jenazah diimamkan Johari Abdullah dari Masjid At Taqwa Kampung Kisap.

Kelmarin, Sinar Harian menyiarkan berita kematian Nur Salina akibat daripada penderaan kejam.

Terdapat pelbagai kesan lebam baru dan lama manakala kaki kanan mangsa dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong.

Selain itu, otak mangsa mengalami pendarahan teruk akibat hentakan dari penderaan yang dilakukan ke atasnya.

Sementara itu, ada antara penduduk kampung, Halijah Zakaria melahirkan rasa terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka dua suspek utama tersebut kerana mereka cukup mesra dan ramah.

"Tak sangka betul, kita tengok keluarga ni cukup baik, cara mereka melayan anak-anak mereka membuatkan kami rasa cemburu, tetapi kejadian ini telah menyatakan kebenaran sebaliknya.

“Cuma kami mahu masyarakat luar kembali mengubah persepsi negatif tentang kampung kami. Keluarga ini orang luar yang baru sahaja berpindah dan menyewa rumah hampir setahun lalu,” katanya.


Dua suspek utama  ditahan manakala dua lagi ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...