SHAH ALAM, 8 Sept - Sultan Selangor Sultan
Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu
nama sahaja sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani
berkata tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan
Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.
"Dimaklumkan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah
menerima senarai nama calon menteri besar Selangor yang baharu daripada
ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat seperti mana titah D.Y.M.M Sultan
Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos 2014.
"Namun demikian hanya parti PAS yang akur dengan titah
D.Y.M.M Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon menteri besar
Selangor manakala DAP dan Keadilan masing-masing telah mengemukakan satu nama
yang sama iaitu (Presiden PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai
calon menteri besar Selangor," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.
Mohamad Munir berkata tindakan kedua-dua parti itu bukan
sahaja menggambarkan kebiadapan mereka terhadap institusi beraja tetapi juga
merupakan perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.
Beliau berkata titah Sultan Selangor bagi mengemukakan
senarai lebih daripada dua calon menteri besar Selangor adalah satu amalan atau
konvensi yang dilaksanakan baginda bagi membolehkan baginda membuat pilihan
terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan
majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) malah dari segi kemahiran,
pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.
Ciri-ciri itu amat penting bagi menjamin perjalanan
pentadbiran negeri Selangor agar berjalan dengan lancar dan baik bagi
keharmonian negeri berkenaan, kata Mohamad Munir.
"D.Y.M.M Sultan Selangor berkeyakinan bahawa terdapat
ramai calon dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang
tinggi seperti yang disebutkan bagi menerajui kerajaan Selangor," katanya.
Mohamad Munir berkata Sultan Selangor akan meneliti senarai
nama calon yang telah diterima dengan mengambil kira segala aspek dalam menilai
calon sebelum membuat sebarang keputusan.
"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik
menteri besar Selangor terletak pada budi bicara D.Y.M.M Sultan Selangor, maka
baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang
berkelayakan dan pada fikiran D.Y.M.M Sultan Selangor mendapat kepercayaan
majoriti ahli Dewan Negeri," katanya.
Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar
parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih
daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.
Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk
menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar
sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai.
No comments:
Post a Comment