JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Bahagian Pulai bersama beberapa
badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Alvin Tan yang secara
terang-terangan mengutuk dan mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib
Tun Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di akaun Facebook miliknya.
Exco Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman
berkata, tindakan blogger yang pernah mencetuskan beberapa isu sensitif dilihat
semakin melampau dan biadab.
Beliau berkata, polis dan Pejabat Peguam Negara perlu segera
menyiasat tindakan tidak bertamadun itu dan membawa Alvin yang kini melarikan
diri ke Amerika Syarikat ke muka pengadilan.
"Pemuda Umno dan NGO belia di Parlimen Pulai mahu polis
dan Peguam Negara mengambil tindakan serius dan segera bagi menangani gejala
yang amat membahayakan itu.
“Perkara ini jika tidak dipandang serius, bakal mencetuskan
satu budaya kotor yang boleh membangkitkan suasana haru- biru di negara ini,”
katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara,
semalam.
Sheikh Nafiq, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pulai,
turut mencabar Alvin pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan Pemuda Umno
daripada menjadi pengecut dan hanya membuat tindakan keji melalui laman sosial
di luar negara.
"Kalau dia anak jantan, balik segera ke negara ini dan
kami (Pemuda Umno) sedia bersemuka serta tidak gentar mendengar cacian atau
kutukan secara berdepan.
"Jangan jadi bacul dengan menjadikan laman maya sebagai
medan untuk berlagak berani," katanya.
No comments:
Post a Comment