KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang wajar
memohon maaf kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menuduh
PAS menjalin persahabatan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung isu hudud,
kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS tidak mempunyai
sebarang hubungan dengan BN dan kerjasama yang berlangsung pada ketika ini
adalah melibatkan kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat. "Sebenarnya
tidak ada apa-apa hubungan (PAS) dengan UMNO (dan BN).
Pihak kerajaan negeri (Kelantan) dan (kerajaan) Persekutuan
bersetuju mengadakan jawatankuasa teknikal (di peringkat pusat) bagi melihat
bagaimana Akta 355 (bidang kuasa Mahkamah Syariah) boleh dibuat pindaan di
peringkat Parlimen, itu sahaja.
"Mungkin bagi
Pemuda (Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang) itu satu tuduhan kepada presiden ... itu
mungkin sebabnya (AMK perlu) minta maaf. (Ia) wajarlah," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kota
Darul Naim di sini, hari ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah
sebelum ini berkata sayap itu tidak akan turun berkempen membantu PKR dalam
pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh selepas AMK Pulau Pinang
enggan memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa memfitnah Abdul
Hadi.
Bagaimanapun, hari ini Mohd Yusni berkata mereka membatalkan
hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu AMK memohon
maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan PAS.
Sementara itu, Ketua
Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya akan terus
menggesa AMK Pulau Pinang menarik balik tuduhan yang dilontarkan kepada Abdul
Hadi serta meminta maaf kepada Presiden PAS itu.
"Dalam hal ini kami juga berpendirian bahawa pihak yang
menyerang atau pihak yang mengeluarkan kenyataan awal kononnya Presiden PAS ini
melakukan kerjasama dengan UMNO perlu dan wajib meminta maaf dan menarik balik
kenyataan mereka," katanya.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Suhaimi Sabudin (BN),
Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga
Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ahli Parlimen
kawasan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus
menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
No comments:
Post a Comment