Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
mengisytiharkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak kerana didakwa lemah dalam mentadbir negara.
Beliau berkata, pelbagai
langkah telah diambil bagi menasihati Najib namun perkara itu dilihat tidak
memberi kesan yang positif terutama membabitkan soal kepimpinan dan
pentadbirannya.
“Saya sudah berunding, nasihat dan beri pandangan kepada beliau
namun ia semacam tak memberi kesan.
“Oleh itu, saya telah tulis surat
mengatakan saya tidak boleh lagi sokong beliau dan buat pengetahuan semua
(hadirin) Najib tidak (pernah) maklumkannya (mengenai surat) kepada sesiapa,”
katanya pada program Bicara Negara Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sebuah
hotel di sini, hari ini.
Mahathir berkata, tindakannya menolak kepimpinan Najib
itu juga berpunca daripada kegagalan perdana menteri itu mendengar keluhan akar
umbi dan rakyat jelata.
“Saya tahu ada pihak akan marah bila saya katakan
perkara ini namun ingin saya tegaskan kepimpinan Najib tidak sama sepertimana
arwah bapanya, Tun (Abdul) Razak yang sanggup menyelusurkan segenap kampung
bertanyakan hal rakyat,” katanya.
Beliau berkata, ahli Umno terutamanya
pimpinan tertinggi perlu berani menegakkan kebenaran sekali gus menggugurkan
Najib daripada mengetuai Kabinet dan parti.
“Umno perlu gugurkan Najib demi
tanggungjawab bangsa, agama dan negara selain tidak sesekali boleh membiarkan
sokongan kepada seseorang individu menidakkan sokongan kepada agama, bangsa dan
negara.
Selain itu, katanya, beliau tidak menolak Umno dan BN akan tumpas dalam
PRU14 sekiranya pakatan itu mengekalkan Najib selaku Perdana Menteri.
“Mungkin,
dan saya fikir Umno itu akan lenyap terus ditelan zaman,” katanya.
No comments:
Post a Comment