Demikian ramai pendukung PAS melihat dengan penuh kekecewaan
akan wajah PAS masa kini. Ada yang sangat bimbang, malah marah.
Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu
kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik yang sukar
sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan,
Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah
begitu berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang
sejarahnya.
Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa, malah marah
atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar ke-61 awal tahun
depan. Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi kepada PAS sebagai
sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.
Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak
Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh
PAS.
Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS
dilanda krisis berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk
memulihkannya. Konsep “PAS For All’ entah ke mana.
Dari jurang krisis itu tercetuslah label melabel, kata-kata
seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji
dan kata-kata kesat yang dahsyat
Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS yang
berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan asal PAS, konon
hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai lagi tuduhan, malah
fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh tercetus di dalam jemaah PAS di
mana pendukungnya melalui tarbiah – usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah
mengenai pembentukan akhlak sejak puluhan tahun.
Ramai yang bertanya di mana menghilangnya nilai ukhuwah,
persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam jemaah PAS yang selama ini
menjadi nilai paling mulia di dalam warga PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli
yang jujur menitiskan air mata mengenangkan hal ini.
Ada pihak yang mengumpamakan krisis di dalam PAS ini seperti
kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di lautan Atlantik kerana
terlanggar batu salji yang sangat besar ketika belayar di lautan itu.
Pembuat kapal itu dengan angkuhnya memberitahu, kononnya
tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh memusnahkan kapal hebat itu
kerana ia dibina sedemikian rupa.
Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh
tidak mahu mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu
sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang hendak
ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang boleh memusnahkan
kapal itu jika melanggarnya.
Akhirnya Titanic itu melanggar batu besar itu dan tenggelam,
semuanya tidak dapat diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan
penumpang kapal itu.
Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah.
Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat dan
menentang kehendak alam.
No comments:
Post a Comment