LANGKAWI: Seorang gadis mualaf Nur Salina binti Abdullah, 18
tahun berketurunan Cina dari Kampung Belanga Pecah, Langkawi yang dimasukkan ke
unit rawatan rapi Hospital Besar Langkawi tiga hari lepas kerana disyaki didera
oleh keluarga angkatnya dilaporkan meninggal dunia jam 8.40 malam tadi.
Kematian gadis malang itu disahkan oleh Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Negeri Kedah, ACP Mohd Nashir Ya.
Pihak media yang cuba untuk mendapatkan visual Allahyarham
sejak petang bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pihak hospital merakam visual
walau pun hanya berada di kawasan kecemasan.
Kesukaran untuk mendapatkan visual menyebabkan kru media
kemudiannya beralih ke tempat tinggal mangsa kira-kira 10 kilometer dari
hospital yang juga merupakan sebuah kedai makan.
Kedai makan terbabit diusahakan oleh keluarga tersebut di
Kampung Belanga Pecah, Kisap, Langkawi.
Petang tadi, menurut jiran yang enggan namanya disiarkan
memberitahu ayah dan ibu angkat mangsa berketurunan India Islam yang merupakan
suspek utama telah pun ditahan reman pihak polis dua hari lalu.
Difahamkan mangsa telah dijaga oleh keluarga angkatnya sejak
berumur empat tahun namun hanya memeluk Islam sejak setahun lepas.
Suspek, bapa angkat dikatakan seorang yang garang dan turut
juga mempunyai tiga anak sendiri iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Keluarga tersebut berasal dari Pulau Pinang dan telah
berhijrah ke Langkawi setahun lepas serta menjalankan perniagaan di sini.
Semasa berada di premis tersebut kelihatan seorang anak lelaki
suspek namun setelah ditanya, beliau tidak mahu memberi maklumat lanjut hanya
memberitahu tidak ada gambar Nur Salina kerana “semuanya telah dibawa ke
balai”.
Menurut jiran tersebut, mangsa seorang yang baik dan pendiam
namun sejak empat hari lepas kelihatan tidak sihat dengan keadaan kaki yang
bengkak semasa sedang menyidai baju di bahagian belakang premis kedai makan
terbabit.
No comments:
Post a Comment