KUALA TERENGGANU 31 Okt. - Pas bersedia bertindak sebagai
penasihat bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan
sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.
Malah, pada masa sama, parti berkenaan dengan sinis turut
menyindir DAP dengan Kabinet bayangannya sambil menyifatkan tindakan bekas
parti sekutunya itu sebagai syok sendiri sekiranya mereka berjaya memerintah
negara selepas Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas
bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu yang
menyentuh kepentingan rakyat termasuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), cukai
barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan, kejatuhan nilai mata wang dan
sebagainya.
“Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut
kuasa. Kalau UMNO ubah kuasa dengan konsep Islam, kita akan bantu dia. Yang
penting kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan
Islam,” katanya ketika berucap dalam program Dialog Rakyat Bersama Pas anjuran
Badan Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.
Selain Abdul Hadi, dialog itu turut dijayakan oleh Dekan
Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr.
Kamaruzaman Yusof.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri
Mamat serta barisan kepemimpinan Pas negeri itu.
Abdul Hadi berkata, kepemimpinan Pas akan mengadakan
perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi
membincangkan pelbagai isu terutama berkaitan GST dan kenaikan kos sara hidup
rakyat.
“Kita ada cadangan agar kerajaan hapuskan GST kerana ia
menyusahkan rakyat dan akan menyebabkan berlaku inflasi. Kita akan bincang
bagaimana cara untuk selesaikan masalah ini.
“Contohnya, dalam Islam, orang kaya saja dikenakan cukai,
orang miskin tak kena. Begitu juga orang Islam saja dikenakan bayar zakat
manakala bukan Islam kena bayar cukai,” jelasnya.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Hadi berkata,
sekiranya segala teguran serta nasihat kepada kerajaan tidak memberi sebarang
kesan, Pas tiada pilihan melainkan terpaksa mengambil alih pemerintahan.
“Perjuangan kita untuk mengubah keadaan dan bukan berebut
jadi pemimpin. Tetapi kalau tidak berubah juga, menjadi tanggungjawab kita
untuk tukar kerajaan.
“Kita akan jadi pembangkang yang boleh menasihat dan kita
bukan jadi pelahap nak rebut jawatan,” ujarnya.
Beliau turut mengulangi pendirian Pas untuk tidak
sekali-kali bergabung dengan BN khususnya dalam menjalin kerjasama politik.
No comments:
Post a Comment